![]()  | 
| my little gugurl safiyya | 
 Tidak kira sama ada anak anda bayi perempuan atau pun bayi lelaki, 
perhatian khusus perlu diberi terhadap genital kerana ketika bayi mereka
 cenderung buang air besar dan kecil dengan kerap.
 Menjaga alat sulit bayi lelaki
 Semasa menukar lampin dan mandi, cuci atau sapu di sekeliling penis dan
 skrotum bayi untuk membuang sebarang kekotoran yang ada. Selepas 
menukar lampin, gunakan kain basah atau kapas.
 Sebenarnya semasa bayi, penis bersih secara semulajadi, jadi jangan 
menarik kulup penis untuk mencucinya kerana anda tidak dapat menariknya 
kembali ke tempat asal.
 Kulup penis bayi terlekat kepada kepala penisnya. Kulup ini akan 
tercerai daripada penis menjelang usia dua tahun. Tidak perlu cuba 
menceraikannya sebelum itu kerana anda mungkin mencederakannya.
 Memaksa kulup ke belakang boleh menyebabkan kekoyakan, dan ini akan 
mencederakan bayi dan meninggalkan parut. Ia juga mungkin menyebabkan 
masalah bagi bayi anda di kemudian hari.
 Jika bayi disunatkan, anda boleh mencuci penisnya semasa mandi. Selepas
 mandi sapu sedikit jeli petroleum pada penisnya untuk melindungi 
daripada bergeser dengan lampin.
 Sesekali biarkan bayi tidak berlampin seketika bagi membolehkan kemaluannya terdedah pada udara dan lebih cepat pulih.
 Penis bayi yang disunat akan mengambil masa antara tujuh hingga 10 hari
 untuk pulih. Beberapa hari selepas disunat, penis bayi akan kelihatan 
merah dan bengkak dan mungkin terdapat lelehan kekuningan.
 Ia adalah tanda-tanda pemulihan normal. Sekiranya penis bayi mendapat 
jangkitan, ia mungkin menjadi merah yang tidak berkurangan atau 
berdarah, dan hujung penis menjadi bengkak. Bayi anda akan merasa sakit 
apabila kencing. Jika bayi didapati mengalami salah satu tanda tersebut,
 segeralah rujuk dengan doktor.
 Menjaga alat sulit bayi perempuan
 Semasa menukar lampin, gunakan kapas yang dibasahkan dengan air untuk 
membersihkan alat sulitnya dari arah depan di bawa ke belakang iaitu 
dari vagina dan uretra (pembukaan melalui mana dia kencing).
 Sekiranya lampin bayi dikotori dengan najis dan ada sedikit najis memasuki bibir vagina (labia) bayi, lakukan langkah berikut:
 *Gunakan jari (bersih) anda untuk membuka bibir vagina bayi.
 *Guna kapas basah, untuk menyapu tempat itu dari atas ke bawah, atau depan ke belakang, di bahagian tengah.
 *Kemudian, ambil lagi kapas basah bersih, dan cuci kedua-dua sisi labia di sebelah dalam.
 Membersihkan vagina dari depan ke belakang akan membantu mengelakkan 
bakteria daripada berpindah dari anus bayi ke vagina dan uretra, dan 
menyebabkan jangkitan. Apabila memandikan bayi, gunakan kain flanel atau
 span untuk memercikkan air di sekeliling alat sulit, dan sapu dari 
depan ke belakang.
 Dalam beberapa hari pertama, anda mungkin melihat vagina bayi bengkak 
dan kemerahan, atau dia mengeluarkan lelehan yang jernih, putih atau 
berdarah sedikit. Jangan panik kerana ia memang perkara biasa dan 
berlaku disebabkan bayi terdedah kepada hormon ibu semasa masih berada 
di dalam uterus (rahim) ibu.
 Tetapi, sekiranya bayi masih mengalami lelehan selepas enam minggu 
pertama, beritahu doktor anda semasa pemeriksaan pertama selepas sebulan
 lahir.
sumber : http://pama.karangkraf.com 

No comments:
Post a Comment